Thursday, September 27, 2007

Psikologi

PSIKOLOGI BERLANDASKAN ISLAM









ISI KANDUNGAN



BAB PERKARA MUKA SURAT

I PENGENALAN 1

II PSIKOLOGI BERLANDASKAN ISLAM 3

2.1 Prinsip-Prinsip Psikologi Islam 5
2.1.1 Al-Quran 6
2.1.2 Al-Hadis 8
2.2 Model Psikologi Islam 10
2.2.1 Pandangan Darwin 10
2.2.2 Pandangan Islam 11
2.3 Pendekatan Psikologi 12
2.4 Tahap Perkembangan 13
2.5 Pembentukan Insan Kamil 14
2.6 Kaunseling Menurut Islam 20
2.6.1 Kaedah Kaunseling Islam 22

III KESIMPULAN 25

RUJUKAN 26
1.0 PENGENALAN


Psikologi berasal dari perkataan gabungan dua perkataan Greek tua iaitu psyche dan logy. Psyche membawa maksud jiwa dan roh, manakala logy pula bermaksud kajian tentang sesuatu perkara. Penulis-penulis barat seperti Dennis Child, seorang ahli psikologi dari Amerika menjelaskan definisinya tersendiri iaitu psikologi merupakan satu ilmu yang mengkaji secara sistematik proses-proses yang berlaku di dalam diri manusia. Ia termasuklah yang dapat dilihat atau tidak, akhirnya mempengaruhi tingkah laku manusia.

Griffrh W. Williams (1960) pula mendefinisikan psikologi sebagai satu cabang penyiasat saintifik tentang tingkah laku dan aktiviti. Manakala bagi Islam, psikologi adalah merupakan satu kajian mengenai manusia dari mula-mula kejadian manusia sehinggalah manusia berada di alam barzakh. Psikologi Islam ini berlandaskan al-Quran dan al-Hadis. Kajian psikologi berlandaskan Islam mengenai manusia ini bermula dari kejadian nabi Adam a.s dan pasangannya Hawa lagi. Menurut al-Quran manusia dijadikan dari sebaik-baik kejadian yang diciptakan di muka bumi ini manakala nabi Muhamad s.a.w adalah merupakan sebaik-baik umat.

Kajian saintifik turut menjadikan kandungan al-Quran sebagai sumber kajian terhadap psikologi manusia. Di dalam al-Quran terkandung semua tentang kejadian manusia yang menjadi tumpuan ahli sains moden. al-Quran ialah wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. supaya disampaikan kepada manusia untuk menjadi petunjuk ke jalan yang benar, tuhan yang sebenar, yang maha esa dan beriman dengan-Nya supaya dengan demikian, manusia menjadi sebenar-benar hamba Allah yang mendapat kebahagiaan bukan sahaja di dunia malahan di akhirat.

Fenomena jiwa menjadi tajuk psikologi yang saintifik yang menjadi tumpuan ahli sains moden untuk menganalisis dengan tujuan supaya dapat dikeluarkan daripada itu satu undang-undang bagi segala fenomena, iaitu undang-undang yang boleh digunakan pada setiap masa dan segenap tempat.

Allah s.wt menjadikan setiap makhluk itu sama antara satu sama lain dan dilahirkan di dalam keadaan bersih dan suci murni, ibu bapalah yang membentuk corak kehidupannya sama ada ia akan menjadi seorang Yahudi atau Nasrani atau Majusi. Di peringkat awal kelahiran, manusia boleh dianggap seperti kain putih yang bersih, ibu-bapalah yang akan mencorak dan mewarnakan kain itu sehinggalah terbentuknya pelbagai ilustrasi warna dan bentuk di atasnya. Begitulah juga dengan kehidupan manusia di atas bumi ini.





















2.0 PSIKOLOGI BERLANDASKAN ISLAM


Psikologi merupakan salah satu ilmu moden yang terpisah daripada falsafah setelah banyak kajian dibuat di bidang jiwa manusia pada permulaan zaman moden, iaitu pada abad ke -15 M.

Menurut ahli psikologi, erti psikologi itu ialah segala teori berhubung dengan mempelajari segala fenomena jiwa individu, yang diasaskan atas pemerhatian (observational) dan eksperimen (experiment).

Perkataan ‘psikologi’ berasal dari perkataan Greek psychology tersusun daripada dua perkataan psyche ertinya roh dan logos ertinya pengetahuan. Maka di sini bolehlah perkataan psikologi itu ialah pengetahuan rah, dalam bahasa Arab diistilahkan dengan Ilmu al-Nafs.

Ahli psikologi memberi berbagai-bagai erti kepada ‘roh’ antaranya ialah:

i. Sejumlah sifat jiwa yang membentuk perangai individu dan personalitinya yang membezakan daripada orang lain. Sifat-sifat jiwa itu seperti sentimen, perasaan marah, takut, cinta, benci dan lain-lain naluri, adat serta lain-lain lagi. Daripada erti roh seperti yang disebut itulah dikatakan jiwa mulia dan jiwa hina.

ii. Suatu jawhar atau elemen yang bukannya benda yang berbeza-beza daripada tubuh badan, yang terbit daripada segala jenis perasaan jiwa seperti sentimen, marah, takut, cinta, benci dan lain-lain.

iii. Segala tanda bagi roh yang sedang bergerak di dalam hati seseorang manusia yang dirasai dan sentiasa datang di hatinya dengan tidak putus-putus pada setiap seperti merasa berbagai-bagai kehendak, merasa aman tenteram, suka duka, sakit, sedap dan segalanya lintasan fikiran dalam diri seseorang manusia.
Ertinya seperti di atas ialah menurut pendapat ahli-ahli sains moden. Fenomena jiwa seperti yang tersebut itu menjadi tajuk psikologi yang saintifik yang menjadi tumpuan ahli sains moden untuk menganalisis dengan tujuan supaya dapat dikeluarkan daripada itu satu undang-undang bagi segala fenomena jiwaitu, iaitu undang-undang yang boleh digunakan pada setiap masa dan segenap tempat. Motif psikologi Islam menyatakan manusia dan juga haiwan dijadikan Allah dalam bentuk tubuh atau badan yang seimbang dan sekiranya berlaku sesuatu sebab yang menjejaskan perseimbangan itu, maka lahirlah motif psikologi menolak manusia dan juga haiwan untuk melakukan sesuatu perbuatan atau gerakan yang boleh mengembalikan keseimbangan itu kepada badannya.





















2.1 Prinsip-Prinsip Psikologi Islam


Islam adalah agama yang Syumul (cara hidup yang menyeluruh) dan satu-satunya agama yang lengkap dan mempunyai matlamat agar umatnya melakukan pengabdian diri kepada Allah s.w.t (pencipta sekelian alam) supaya memperolehi keredhaan, kebahagiaan dan kerahmatan-Nya. Ucapan Kalimah Syuhadah “Tiada Tuhan yang berhak ku sembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah” merupakan asas kepada umat Islam. Nabi Muhammad merupakan rasul yang terakhir di utuskan oleh Allah s.w.t kepada umat-Nya untuk membimbing mereka ke jalan yang benar dan menyeru manusia mentauhidkan Allah s.w.t. Umat islam berpegang kepada prinsip al-Quran dan al-Hadis sebagai garis panduan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Ini dapat dijelaskan melalui hadis Nabi Muhammad s.a.w:




Ertinya : “Dari Malik bin Anas (secara mursal), Nabi SAW telah bersabda: “Telah aku tinggalkan pada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang teguh kepadanya iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah.”

Melalui hadis ini jelas menggambarkan betapa pentingnya pegangan terhadap al-Quran dan al-Sunnah kepada umat manusia supaya mereka tidak akan sesat dalam kehidupan di dunia dan InsyaAllah selagi manusia berpegang kepada dua perkara ini dengan mengikuti segala suruhan dan amalannya, mereka akan mendapat balasan Syurga di akhirat nanti.


2.1.1 Al-Quran


Al-Quran merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada Rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w sebagai petunjuk bagi manusia menuju ke jalan Allah. Al-Quran telah diturunkan dalam bahasa Arab kepada Rasul-Nya yang terakhir dan ia tidak dapat dicipta oleh manusia atau jin. Ia akan menjadi ibadat kepada barang siapa yang membacanya. Kitab al-Quran mengandungi 114 surah dan 6236 ayat. Di dalamnya mengandungi pelbagai ayat yang menjelaskan tentang ilmu pengetahuan, akidah, ibadat, akhlak, kejadian langit dan bumi dan sebagainya.

Nabi Muhammad s.a.w. diperintah untuk menyampaikan kandungan al-Quran itu kepada manusia dengan cara yang dinyatakan dalam firman-Nya:

Terjemahan : Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik..
(Surah al-Nahl 16 :125)

Supaya Nabi Muhammad s.a.w. dan (juga pendakwah-pendakwah sekelian) dapat melaksanakan tugas dakwah sesuai dengan tiga cara yang dikehendaki oleh Allah S.W.T sebagaimana yang tersebut dalam al-Quran, ayat 125 dalam Surah al-Nahl itu, Allah s.w.t yang mencipta manusia menerangkan dengan jelas di dalam al-Quran bagaimana manusia itu diciptakan, bentuk kejadiannya, sifat-sifat jasmani dan sifat-sifat rohaninya. Oleh yang demikian al-Quran daripada segi kerohanian manusia merupakan sumber yang benar dan sangat bernilai tinggi bagi kajian psikologi yang mengkaji jurusan kejiwaan manusia kerana al-Quran adalah wahyu Allah S.W.T dan semua isi kandungannya adalah benar.

Di dalam al-Quran terdapat ayat yang merupakan bimbingan kepada manusia, di mana menyeru manusia melakukan perkara yang baik dan mencegah manusia daripada melakukan perkara yang tidak baik (mungkar) dan mentaati Allah serta Rasul-Nya. Ini telah dijelaskan dalam ayat :

Ertinya : ‘Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka(adalah) adalah menjadi penolong kepada sebahagian yang lain, mereka menyuruh yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mengerjakan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah ; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. ’’

(Surah at-Taubat :71)

Selain menyeru manusia melakukan perkara-perkara yang baik, dalam al-Quran juga Allah menyeru manusia saling-bantu membantu antara satu sama lain bagi memepuk kerohanian yang tinggi di kalangan manusia. Firman-Nya :


(Surah al-Maidah :2)

Ertinya : Tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam membuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwallah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.

Al-Quran dari segi kerohanian manusia merupakan sumber yang benar dan sangat bernilai tinggi bagi kajian psikologi yang mengkaji kejiwaan manusia, kerana al-Quran adalah wahyu Allah s.w.t dan semua isi kandungannya adalah benar. Dari segi kerohanian, Allah s.w.t menyuruh manusia memerhati dan mengkaji tentang nafs kerana dengan kajian itu manusia dapat pengetahuan mengenainya dan dengan pembongkaran rahsia nafs itu ia dapat menginsafi diri serta mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. Oleh itu al-Quran mempunyai maklumat yang banyak mengenai nafs, kejadiannya, sifat-sifatnya dan kesannya terhadap individu sama ada kepada jasmani, jiwa dan tingkah laku. Maklumat-maklumat ini boleh menjadi bahan-bahan yang betul dan tepat di bidang psikologi.

Al-Quran menyatakan dengan tegas bahawa ‘roh’ pada umumnya suatu perkara yang hakikatnya diketahui oleh manusia dan makhluk lain seluruhnya. Firman Allah s.w.t :

‘ Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan, ‘Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.’
(Surah al-Isra’ 17:85)


2.1.2 Al-Hadis


Allah s.w.t telah mengutuskan para Rasul untuk menyampaikan seruan dakwah untuk umatnya, berbadat, melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah s.w.t. Nabi Muhammad s.w.a merupakan Rasul yang terakhir di turunkan kepada umat manusia. Beliau merupakan merupakan seorang insan yang begitu mulia di sisi Allah s.w.t kerana mempunyai keperibadian serta kerohanian yang tinggi sehingga beliau dijanjikan oleh Allah s.w.t dimasukkan ke dalam syurga. Sunnah-sunnah beliau telah dijadikan amalan dan panduan hidup oleh pengikutnya yang memandang tinggi ke atas keperibadiannya dan begitu menghormati beliau sebagai seorang Rasul.

Al-Sunnah merupakan perbuatan Rasulullah dalam kehidupan sehariannya. Ia merangkumi semua aspek iaitu cara Rasul bercakap, cara Rasul bergaul, cara rasul makan dan sebagainya. Semua perbuatan Rasulullah ini dapat dipelajari oleh umatnya melalui hadis-hadis baginda kepada umatnya. Banyak hadis-hadis Rasulullah yang mengandungi nasihat-nasihat yang berguna kepada pengikutnya dan mengandungi sunnah-sunnah nabi. Rasulullah dalam hadisnya ada menyeru supaya manusia supaya mentaati perintah agama iaitu agama Islam. Ini kerana agama Islam merupakan agama yang boleh memberikan ketenangan rohani dan jiwa kepada umatnya yang mengikuti perintah dan ajaran dari-Nya. InsyaAllah, barang sesiapa yang mengikut segala ajarannya akan mendapat keberkatan hidup di dunia dan juga di akhirat. Rasullullah s.w.a telah bersabda :


Ertinya : Dari Tamin ad-Dari, bahawa Nabi s.w.a bersabda : Agama itu nasihat : Para sahabat bertanya : Kepada siapa ?Rasullullah s.w.a bersabda : Kepada Allah, kepada kitab-Nya, kepada pemimpin kaum muslimin dan kaum muslimat secara umumnya.

Selain daripada menyeru umat Islam mentaati perintah agama, terdapat juga Hadis Rasulullah s.a.w yang menyeru umatnya supaya mempunyai hubungan dan interaksi yang baik dalam keluarga. Ini kerana hubungan kekeluargaan amat penting untuk membentuk kerohanian dan keperibadian seseorang. Pembentukkan diri individu juga bermula dari rumah. Beliau telah bersabda bahawa sesiapa yang tidak menjaga interaksi kekeluargaan, maka Allah akan mencabut rahmat ke atas mereka. Sabda Rasullullah s.a.w :


Ertinya : ‘Dari Aisyah r.a berkata : Pada suatu hari beberapa orang dusun datang kepada Rasulullah s.a.w. Mereka bertanya kepada para sahabat. ‘Apakah kalian memeluk anak-anak kecil kalian ?’ Mereka menjawab ‘Ya’. Orang-orang Dusun itu menjawab ‘Akan tetapi demi Allah kami belum pernah memeluknya’ Lalu Rasulullah berkata: Aku tidak berdaya berbuat apa-apa jika Allah s.w.t mencabut rahmat dari kamu.’

Rasulullah juga menekan hubungan baik sesama manusia. Beliau menyeru umatnya supaya sentiasa menjalinkan hubungan baik sesama manusia dan saling bantu membantu antara satu sama lain walau dalam keadaan apapun.

Ertinya: ‘Dari Jabir dia berkata: ‘Hendaklah seseorang itu menolong saudaranya samada dia zalim atau dizalimi.’


2.2 Model Psikologi Islam


Ia bermula zaman awal Yunani iaitu 384 ~ 322 (SM). Antara tokoh-tokoh barat yang terlibat ialah Socrates, Plato dan Aristotle. Pada masa ketika itu, psikologi adalah merupakan sebahagian ilmu falsafah.


2.2.1 Pandangan Darwin

Tokoh psikologi yang pertama, Charles Darwin (1859) telah membuat kajian tentang psikologi manusia. Beliau menyatakan teori kejadian manusia adalah bermula dari spesis beruk. Teori ini wujud disebabkan pemerhatian beliau terhadap tingkah laku beruk . Dari segi fizikal dan pandangan mata kasar, beruk mempunyai sedikit persamaan dengan manusia. Cuma yang membezakannya adalah dari segi akal fikiran. Cara beruk menjaga anak dan tingkah lakunya yang hampir menyerupai manusia itu, menyebabkan Darwin membuat teorinya sendiri yang menyatakan manusia berasal dari spesis beruk.


2.2.2 Pandangan Islam

Pandangan psikologi barat terhadap kejadian manusia berbeza dengan pandangan psikologi Islam. Psikologi Islam berpandukan al-Quran. Dalam al-Quran, telah menyatakan Allah s.w.t menjadikan makhluk daripada berbagai-bagai unsur. Malaikat ? manusia tersusun daripada dua unsur iaitu unsur material (jasad) dan unsur spiritual (roh). Roh dan jasad menurut al-Quran ialah yang memiliki diri kemanusiaan dan tidaklah hidup itu boleh menolak salah satu daripada kedua-duanya kerana hidup tak beerti tanpa kedua-duanya. Allah s.w.t menjadikan manusia sebaik-baik kejadian. Manusia pertama yang dicipta oleh Allah s.w.t ilah Nabi Adam a.s. Manusia dilengkapi dengan anggota badan dan pancaindera, di samping akal fikiran dan hawa nafsu untuk membezakan manusia dengan makhluk-makhluk yang lain. Allah s.w.t juga menjadikan manusia pelbagai bangsa, keturunan, warna kulit, bentuk fizikal dan tempat tinggal.
Psikologi Islam menyatakan bahawa manusia dijadikan dari tanah, bermula dari zaman nabi Adam a.s dan pasangannya Hawa.

Menurut pandangan al-Qur’an sendiri, Allah s.w.t telah berfirman yang marhumnya:

(Ingatlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: ‘ Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia (Adam) dari tanah, kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan roh dari (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.’

(Sad : 71-72)



Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa kewujudan aspek jasad manusia dinisbahkan hanya kepada asal-usul tanah, sedangkan aspek kewujudan nafs atau roh pula dinisbahkan terus kepada Tuhan sendiri. Gambaran penisbahan yang dibuat oleh ayat al-Quran ini, memberikan isyarat kepada kita tentang keutamaan aspek roh dalam bandingan dengan aspek jasad manusia. Menurut pandangan sesetengah ahli-ahli ulamak, manusia dijadikan daripada unsur tanah kerana, tanah merupakan unsur yang sejuk sesuai untuk manusia sebagai kalifah di muka bumi ini.


2.3 Pendekatan Psikologi

Islam menggunakan pendekatan yang murni dalam membentuk umatnya menjadi insan kamil. Pelbagai pendekatan yang diamalkan oleh orang Islam dalam menjadikan umat Islam yang berdisiplin. Sebagai contoh, di dalam Islam ibu bapa diajar mengamalkan pendekatan dan memahami setiap keperluan dalam mendidik anak-anak bagi melahirkan anak-anak yang menghormati orang yang lebih tua daripada mereka. Ibu bapa perlu mengelakkan dari menggunakan kekerasan kerana ini boleh menyebabkan anak-anak terasa jauh dengan ibu bapa mereka.

Menurut pandangan Imam al-Ghazali, beliau menyatakan keseimbangan boleh dicapai oleh makhluk manusia menerusi dua cara berikut:

a) Menerusi limpah kurnia Ilahi dan kesempurnaan fitrah semula jadi. Ini bermakna bahawa seseorang makhluk manusia itu telah sedia dijadikan atau dilahirkan dalam keadaan akal yang sudah sempurna dan akhlak yang sudah sedia baik atau mulia. Kedua-dua daya kekuatan marah dan syahwat yang ada pada orang jenis ini telah tersedia dijadikan dalam keadaan sudah seimbang dan boleh mentaati kehendak syarak dan akal secara tabii. Kalangan ini bagaikan orang yang berjaya menjadi alim tanpa belajar dan menjadi beradab tanpa melalui proses pendidikan, iaitu seumpama yang berlaku kepada Nabi Isa a.s, Nabi Yahya b. Zakariya a.s serta seluruh para nabi yang lain.
b) Menerusi kegigihan usaha dengan cara melakukan mujahadah dan riyadah. Ini bermakna golongan ini perlu memaksa diri secara bersungguh-sungguh melaksanakan kerja-kerja yang dituntut oleh jenis akhlak yang mahu dibentuk atau dibina dalam diri orang berkenaan.


2.4 Tahap Perkembangan


Dalam al-Quran telah dinyatakan kejadian awal manusia sehingga manusia menghadapi alam mati. Menurut Islam, setiap orang akan mengalami lima proses kehidupan, iaitu alam roh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat. Keadaan manusia dalam kelima-lima alam adalah berbeza-beza.

Semasa berada di dalam alam roh, semua roh berikrar dan mengakui bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah. Pembentukan jasad manusia berlaku sewaktu berada dalam alam rahim. Jasad manusia terbentuk daripada nutfah iaitu percantuman di antara benih lelaki dan benih perempuan. Selama 40 hari nutfah bertukar menjadi seketul daging yang membaluti tulang-tulang yang disebut juga sebagai mudghah dan seterusnya membentuk janin manusia. Ketika janin berusia empat bulan, Allah meniupkan roh ke dalam tubuh janin tersebut. Apabila genap sembilan bulan sepuluh hari, bayi dilahirkan ke dunia untuk menjalankan amanah Allah.

Di dunia, manusia dibekalkan dengan akal fikiran, nafsu, serta dianugerahkan ilmu pengetahuan untuk menjalani kehidupan di bumi Allah. Allah mengutuskan Rasulullah dan menurunkan Al-Quran adalah untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar.

Setelah jangka hayat hidup di dunia tamat, manusia akan kembali menemui Tuhannya dengan berbekalkan segala amalan semasa hidup di dunia. Mati ialah perpisahan di antara roh dan jasad. Apabila seseorang itu mati, roh akan kembali ke alam arwah, manakala jasad akan kembali ke tanah.

Setelah mati, seseorang itu akan mengalami kehidupan di alam barzakh yang berbeza dengan alam dunia atau alam rahim. Keadaan seseorang semasa berada di alam barzakh bergantung kepada amalannya semasa di dunia. Sekiranya banyak amalan baik, serta taat pada perintah Allah, dia akan selamat dan terlepas daripada seksa kubur. Orang yang banyak melakukan kejahatan dan kufur, akan diseksa dengan berbagai-bagai seksaan daripada Allah s.w.t. Alam barzakh ialah alam sementara menunggu berlakunya kiamat.

Selepas melalui proses empat alam, manusia akan menjalani kehidupan hari akhirat yang kekal abadi. Kehidupan di alam akhirat bergantung pada amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia, iaitu amalan yang disuruh ataupun yang dilarang. Balasan baik akan dibalas syurga dan jahat di balas neraka.


2.5 Pembentukan Insan Kamil


Insan Kamil adalah pertemuan di antara ketuhanan dan kehambaan. Pada Insan Kamil berkumpul pengetahuan tentang Tuhan dan pengetahuan tentang makhluk Tuhan. Insan Kamil memperoleh maklumat Hakikat Muhammad secara lengkap dan sempurna, memiliki ilmu dan makrifat yang sempurna serta mempunyai pengenalan yang sempurna tentang Tuhan dan tentang apa yang Tuhan sampaikan kepada hamba-hamba-Nya.
Insan Kamil juga mempunyai maklumat Hakikat Insan secara sempurna. Hakikat Insan membawa maksud mengumpul maklumat yang lengkap tentang manusia dan alam makhluk sekaliannya.
Hakikat Insan Kamil membuat hati si hamba menyaksikan alam semesta disempadani oleh dirinya dan pada masa yang sama dia menyaksikan ‘Allah’ bersemayam dalam hatinya. Inilah peringkat yang paling bahaya dalam semua peringkat pengalaman kerohanian. Ketuhanan dan kehambaan muncul pada hati yang sama, pada perasaan yang sama dan pada masa yang sama. Hanya kehambaan yang sentiasa membayanginya meneguhkan tapak kakinya berpijak pada jalan yang benar. Kehambaan pada peringkat ini sangat rapuh, mudah saja menjadi hancur lebur. Jika hal yang demikian terjadi, hati si hamba tidak lagi melihat perbezaan di antara hamba dengan Tuhan, dirinya dengan Tuhan. Keadaan seperti ini tidak muncul sewaktu menyaksikan Hakikat-hakikat yang lain termasuklah Hakikat Muhammad kerana pada ketika itu makhluk dan dirinya tidak ada dalam perhatian dan kesedarannya. Pada tahap mengalami suasana Hakikat Insan Kamil ini kesedaran dan perhatian kepada diri dan makhluk baru saja muncul kembali, belum begitu kuat dan berpengaruh. Kesedaran dan perhatian tersebut baru pada tahap seumpama bayang-bayang yang belum melekat benar pada hati. Hakikat Insan Kamil adalah umpama stesen bebas bagi hati. Ia boleh menjadi Tuhan dan hamba pada masa yang sama. Ia juga boleh menjadi nabi dan wali serta boleh menjadi malaikat.
Jika seseorang yang baru saja kembali sedikit kesedarannya terhadap kewujudan dirinya dalam Hakikat Insan Kamil, hatinya akan mengalami sesuatu yang biasa disebut oleh orang sufi sebagai bersatu dengan Tuhan. Rasa bersatu dengan Tuhan berbeza daripada mengalami suasana keesaan yang berlaku. Pada ketika itu keesaan dialami dalam suasana tanpa disedari oleh diri sendiri. Si hamba hanya menyaksikan Allah s.w.t semata-mata, tidak pada dirinya dan makhluk lainnya. Dia hanya menyaksikan satu wujud iaitu wujud Allah s.w.t. Oleh yang demikian tidak timbul isu bersatu dengan Tuhan pada peringkat itu. Pada peringkat Hakikat Insan Kamil pula wujud Allah s.w.t dan wujud dirinya nyata dalam kesedarannya dan mungkin dia tidak dapat membezakan yang satu dengan yang lain. Dalam keadaan demikian dia mungkin menyaksikan Allah s.w.t sebagai Haq (Yang Hakiki) dan juga khalq (makhluk sebagai bayangan Yang Hakiki). Dia mungkin merasakan dirinya sebagai Tuhan dan hamba Tuhan, yang sama dalam aspek yang berbeza. Dia mungkin melihat sifat-sifat yang ada pada dirinya sebagai sifat Tuhan dan dia menjadi penzahir sifat Tuhan secara sempurna.

Bila dikuasai oleh rasa kesempurnaan dalam Hakikat Insan Kamil dia mungkin melihat dirinya berada pada satu falak di atas daripada falak yang ada makhluk yang lain. Malaikat, jin dan yang lain-lain mungkin dilihatnya berada di bawah daripada falak dirinya. Dia mungkin melihat bakat dirinya bergerak melalui makhluk yang lain. Jika dia berada dalam satu kumpulan pekerja dia mungkin melihat bakat dan daya upayanya berada pada setiap pekerja tersebut.
Ramai orang menyangkakan Insan Kamil adalah penghabisan jalan. Mereka jadikan Insan Kamil sebagai makam mereka.
Semua keturunan Adam a.s dinamakan manusia. Dalam bangsa manusia itu ada golongan yang sempurna dinamakan manusia yang sempurna. Dalam golongan manusia yang sempurna itu ada kumpulan yang menjadi Nabi dan Rasul. Bangsa manusia secara keseluruhannya dikuasai oleh Hakikat Insan. Golongan manusia yang sempurna itu pula dikuasai oleh Hakikat Insan Kamil. Dalam golongan manusia yang sempurna itu, yang menjadi nabi dan rasul dikuasai pula oleh Hakikat Muhammad.
Hakikat-hakikat, termasuklah Insan Kamil, bukanlah makhluk yang ada dalam alam. Hakikat adalah urusan Tuhan. Insan Kamil adalah urusan Tuhan yang menguasai satu kumpulan manusia yang sempurna kehambaannya kepada Allah s.w.t. Insan Kamil yang asli, yang ada pada sisi Tuhan tidak berupa, tidak berbentuk, tidak berwarna, tidak menempati ruang dan zaman dan juga tidak bernama. Manusia-manusia sempurna yang muncul di atas muka bumi bolehlah dikatakan salinan lengkap kepada Insan Kamil yang asli. Manusia yang paling sempurna, menjadi salinan Insan Kamil yang paling sempurna menerima penguasaan sepenuhnya daripada Hakikat Muhammad dan beliau adalah Nabi Muhammad s.a.w. Manusia-manusia sempurna yang lain, walaupun sempurna tetapi kesempurnaan mereka tidak mencapai tahap kesempurnaan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka tidak menerima penguasaan Hakikat Muhammad secara lengkap, selengkap Nabi Muhammad s.a.w. Manusia sempurna yang lain tidak mengaku diri mereka sebagai Muhammad walaupun mereka juga menerima maklumat daripada Hakikat Muhammad. Sejak Nabi Adam a.s sampailah kepada Nabi Isa a.s tidak ada seorang Nabi pun yang mengaku menjadi Muhammad. Kumpulan manusia yang sah kesempurnaan mereka tidak mengaku menjadi Muhammad atau bersekutu dengan Muhammad. Jika ada orang yang mengaku menjadi Muhammad atau bersekutu dengan Muhammad, baik secara zahir atau secara batin, maka nyatalah mereka telah keliru dalam memahami hakikat.
Salinan Insan Kamil yang paling sempurna dalam kumpulan Nabi-nabi adalah Nabi Muhammad s.a.w, penutup Kenabian. Salinan Insan Kamil yang sempurna dalam kumpulan wali-wali adalah Muhammad Imam Mahadi, penutup kewalian. Muhammad Imam Mahadi tinggal di dalam dunia dan menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Allah s.w.t.Beliau adalah merupakan wali Allah yang terakhir. Bila salinan Insan Kamil tidak ada lagi di dalam dunia maka tertutuplah ilmu ketuhanan. Tidak ada lagi manusia yang mengenal Allah s.w.t. Pada ketika itu berlakulah kiamat besar.
Insan Kamil dikatakan bersemayam di dalam Kaabah. Ada orang mengatakan dia bersembahyang menghadap Kaabah. Ada pula yang mengatakan dia bersembahyang di dalam Kaabah. Yang lain pula mengatakan dia sembahyang dengan ketiadaan Kaabah. Ada juga orang mengatakan dia menemui Rasulullah s.a.w di dalam Kaabah. Berbagai-bagai lagi keadaan Kaabah yang diceritakan orang dalam menggambarkan suasana hakikat.
Kaabah yang dikatakan seperti cerita di atas merupakan suasana simbolik bagi menggambarkan keadaan hubungan hati dengan Allah s.w.t. Umat Islam bersembahyang menghadap Kaabah bukan bermakna mereka menyembah Kaabah dan bukan juga Allah s.w.t berada dalam Kaabah. Allah s.w.t memilih Kaabah sebagai tempat yang boleh dirasakan kehadiran-Nya dengan kuat. Jadi, Kaabah dihubungkan dengan Hadrat Ilahi. Berhadap ke Kaabah bermakna menghadap kepada Hadrat-Nya.
Di dalam suasana hakikat, Kaabah menjadi misal bagi suasana ketuhanan. Bila dikatakan Insan Kamil bersemayam di dalam Kaabah ia bermaksud Insan Kamil adalah suasana ketuhanan, berada dalam Ilmu Tuhan. Orang yang bersembahyang di dalam kesedaran melihat Kaabah berada di hadapannya. Orang yang baqa dengan Allah s.w.t tidak melihat kepada Kaabah. Orang yang ‘memasuki’ Ilmu Allah, mengenali suasana Hakikat Muhammad dan mengambil ilmu daripada sumber tersebut, menggambarkannya sebagai berjumpa dengan Rasulullah s.a.w di dalam Kaabah dan menerima pengajaran daripada baginda s.a.w.
Penyaksian terhadap rupa, bentuk, cahaya dan warna adalah penyaksian kepada misal bagi hakikat-hakikat. Apa yang disaksikan itu menjadi cermin yang membalikkan kefahaman tentang hakikat yang tidak boleh disaksikan. Rasulullah s.a.w melihat pada malam Israk dan Mikraj, bentuk misal kesenangan dan kemewahan dunia sebagai perempuan cantik dan umur dunia yang sudah lanjut sebagai perempuan tua. Kedua-duanya menceritakan tentang hakikat dunia tetapi berlainan rupa bagi menceritakan maksud yang berbeza.
Hakikat Insan Kamil adalah umpama cahaya yang hening. Hati insan umpama cermin yang jernih. Orang yang memandang ke dalam cermin hatinya bersuluhkan cahaya Hakikat Insan Kamil akan menyaksikan wajahnya sendiri di dalam cermin itu, lalu dia menyangkakan bahawa itulah wajah Insan Kamil yang asli, dan itu jugalah wajah Tuhan yang tidak dibezakan dengan Insan Kamil. Lama-lama orang tadi menyembah dirinya, tidak lagi menyembah Tuhan. Inilah yang selalu terjadi kepada orang yang berjalan kepada hakikat tanpa membawa syariat.
Orang yang berjalan pada jalan kerohanian perlu melepasi bentuk-bentuk misal. Lepaskan apa juga yang sampai kepada penyaksian. Nafikan dengan kalimah “La ilaha illa Llah”. Orang yang berjaya melepasi bentuk-bentuk misal tersebut akan sampai kepada Penyaksian Hakiki, iaitu menyaksikan tanpa rupa, bentuk, cahaya, warna dan wajah. Pada Penyaksian Hakiki juga tidak ada suara, tidak ada huruf. Penyaksian berlaku kepada mata keyakinan. Si hamba yang menyaksikan dengan mata keyakinan mengucapkan: “Sesungguhnya hatiku tidak berasa syak lagi bahawa Engkau yang daku pandang tanpa rupa, tanpa bentuk, tanpa cahaya, tanpa warna, tanpa suara dan tanpa huruf”. Itulah keadaan memandang dengan tiada sesuatu yang dipandang, tahu tanpa sesuatu pengetahuan dan kenal tanpa sesuatu pengenalan.
Jika seseorang ingin cepat sampai ke matlamat hendaklah bersegera melepaskan bentuk-bentuk misal yang sampai kepada penyaksiannya. Berpindahlah kepada Penyaksian Hakiki. Tanda seseorang sudah memiliki Penyaksian Hakiki adalah apabila dapat melihat hakikat ketuhanan pada dua perkara yang bertentangan dengan sekali pandang. Nama, rupa, bentuk, cahaya dan warna tidak menghijab pandangannya untuk menyaksikan hakikat atau Rububiah. Makrifat tentang nama-nama Tuhan penting bagi memperolehi Penyaksian Hakiki.Tidak semua orang yang memasuki daerah Hakikat Insan Kamil akan terdorong kepada suasana bersatu dengan Tuhan. Si hamba yang telah mengalami suasana kehadiran kenabian dan mengalami pula suasana keesaan Tuhan akan sentiasa dibayangi oleh rasa kehambaan kepada Tuhan. Pertembungan dengan Hakikat Insan Kamil tidak menyebabkan berlakunya perlarutan. Suasana Hakikat Insan Kamil dialaminya sebagaimana mengalami suasana Hadrat kenabian dan Hadrat ketuhanan. Si hamba tidak mengalami suasana menjadi Insan Kamil atau menjadi Tuhan atau bersatu dengan Tuhan. Insan Kamil merupakan salah satu Hadrat yang dialaminya dan melalui pengalaman tersebut dia mengerti maksud Insan Kamil.
Hamba yang sempurna tidak berubah menjadi Adam atau Muhammad atau Insan Kamil atau Tuhan. Sepanjang perjalanan dia berada dalam suasana dia yang menyaksikan dan melalui penyaksian tersebut dia memperolehi pengetahuan dan pengenalan (ilmu dan makrifat) tanpa melepaskan pandangan kepada “Allah Yang Maha Esa” dan “Tiada sesuatu serupa dengan-Nya”. Melalui jalan kehambaan kehadiran kenabian, kehadiran Hakikat-hakikat Insan, Muhammad dan Insan Kamil dan juga kehadiran Tuhan berperanan sebagai Pembimbing. ‘Pertemuan’ dengan Hadrat-Hadrat tersebut memperkuatkan Petunjuk Ghaib dalam dirinya. Juru-bicara dalam dirinya sentiasa memberi peringatan. Dia diperingatkan agar berjalan terus, jangan berhenti walaupun dijanjikan syurga atau dihalang oleh neraka, walaupun dibukakan suasana Hakikat-hakikat. Semua itu untuk diketahui dan untuk dikenal, bukan tempat untuk bermakam.
Dalam daerah Hakikat Insan Kamil pula si hamba sedang menuju ke arah pembesaran kesedaran terhadap diri sendiri. Oleh itu setiap pengalaman menarik perhatiannya. kehadiran Maut pada daerah Insan Kamil memperjelaskan pengalaman. Insan Kamil ini merasakan sangat hampir dengan Maut. Biasa terjadi pada peringkat ini dia mendapat firasat mengenai kematian orang-orang tertentu dan kemudiannya ternyata firasat tersebut adalah benar. Keadaan ini bersifat sementara saja. Apabila dia meninggalkan daerah Insan Kamil dia keluar juga daripada Hadrat Maut itu dan firasat tentang kematian tidak ada lagi.
Apabila Hadrat Maut dan Hadrat Insan Kamil bertemu pada satu hati, suasana kehambaan akan menetap dan terhindarlah suasana ketuhanan. Hadrat Maut memperlihatkan kedaifan, kehinaan dan kejahilan si hamba. Hadrat Insan Kamil memperlihatkan kekuasaan, kemuliaan dan kebijaksanaan Tuhan. Orang yang benar-benar menyaksikan keagungan Tuhan adalah orang yang sedang menghadapi sakratul maut. Begitulah umpamanya keadaan hati yang merasai Hadrat Maut dan Hadrat Insan Kamil pada satu masa. Dia diperlihatkan kekerdilan dirinya sebagai hamba Tuhan dan keagungan Allah s.w.t sebagai Tuhan. Bertambah kuatlah rasa kehambaan pada dirinya. Jadi, Hadrat Insan Kamil yang menyebabkan sebahagian orang mengalami suasana bersatu dengan Tuhan boleh juga menambahkan rasa kehambaan. Si hamba yang bertambah rasa kekerdilan diri dan kehambaannya kepada Tuhan bermunajat kepada Tuhan dengan penuh tawaduk.

2.6 Kaunseling Menurut Islam


Kaunseling Islam merangkumi skop masalah yang lebih luas iaitu merangkumi masaalah yang berkaitan kekeluargaan, perkahwinan, pmbangunan minda dan keagamaan. Mengikut ajaran Islam, kaedah kaunseling merupakan amalan asas yang perlu diperaktikkan dalam perhubungan sesama manusia. Amalan nasihat-menasihati dan menjauhi tindakan yang bertentangan dengan Islam merupakan asas dalam didikan Islam.

Islam, agama ciptaan Allah, tuhan yang menjadikan manusia dan alam semester supaya menjadi panduan bagi menusia untuk mencapai cita-cita hidupnya di dunia dan akhirat dan juga menjadi panduan untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi, oleh itu maka kandungannya al-Quran ialah Fitrah (nature) Allah yang menjadikan manusia di atasnya. Kitab al-Quran merupakan kaunselor agung bagi manusia kerana semua perkara yang berhubungan dengan manusia ada di sebut di dalamnya : Firman Allah S.W.T. :

Terjemahan :…Tidak kami tinggalkan sesuatu apapun di dalam al-Kitab (al-Quran) ini..

Firman Allah S.W.T. :

Terjemahan:…Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab)Allah (al-Qur’an) dan (sunnah)Rasul-Nya – jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Demikian itu lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.
(Surah al-Nisa 4.59)

Islam pada prinsipnya merangsang Muslimin seluruhnya supaya menjadi kaunselor dalam apa jua jurusan dan perkara yang mereka tahu dan berkemampuan. Dalam al-Quran disebut, para Rasul merupakan orang yang gigih memainkan peranan kaunseling; firman Allah:

Terjemahan: Maka Nabi Salih meninggalkan mereka sambil berkata: ”Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku dab aku member nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang yang memberi nasihat.
(Surah al-A’raf 7:79)

Nabi Muhammad s.a.w bersabda dalam hadis-hadis berikut :
‘Agama itu nasihat’
‘Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik bagi manusia.’



2.6.2 Kaedah Kaunseling Islam


Islam tidak hanya menunjukkan jalan untuk mengatasi kesusahan dengan menurut jalan Al-Quran, malah dinayatakan pula bagi mereka yang memainkan peranan sebagai kaunselor bagaimana kaedah yang sesuai dengan fitrah atau manusia.

Kaedah kaunseling menurut Islam dinyatakan dalam firman Allah S.W.T.:

Terjemahan: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik..
(Surah al-Nahl 16:125)

Al-Qur’an menyatakan bahawa kaedah yang baik mengajak manusia kepada kebaikan ialah tiga cara:

i. Cara Hikmah

Hikmah mengandungai 11 erti iaitu keadilan, tahan marah, kenabian (sifat-sifat kenabian), apa yang menegahkan jahil, setiap perkataan yang membetulkan dengan hak (kebenaran) meletakkan sesuatu pada tempatnya, perkataan yang betul dan tepat, apa yang menengahkan kerosakkan, mengetahui sebaik-baik perkara dengan sebaik-baik ilmu, al-Qur’an dengan hujah yang menerangkan kebenaran dan menghilangkan keraguan.


ii. Cara Kata Nasihat Yang Baik.

Kata nasihat yang baik menurut pendapat sesetengah ahli tafsir ialah :
· Kata nasihat yang memalingkan dari keburukkan dengan cara memberi kegemaran dan peransang meninggalkannya. Memasukkan perasaan tidak mahu mengulangi kesilapan yang telah dibuat. Cara ini menjadikan hati lembut yang membawa kepada khusyu’.
· Kata nasihat yang memberi rasa kepada pendengar yang ingkar memberi nasihat dan memberi rasa kepadanya bahawa maksud engkau memberi nasihat itu semata-mata untuk kebaikannya sendiri.

Sesetengah ahli tafsir lain berkata, “Nasihat yang baik itu ialah kata-kata nasihat yang masuk ke dalam hati dengan halus dan mendalam, masuk ke dalam perasaan jiwa dengan lembut, bukannya dengan tengking herdik dan celaan dan tidak dengan mendedahkan kesalahan yang berlaku kerana berlemah lembut dalam memberi nasihat itu itu biasanya boleh memberi petunjuk kepada hati yang sesat dan menjinakkan hati yang liar. Ianya boleh menghasilkan natijah yang baik.

iii. Cara perbincangan yang lebih baik.

Menggunakan sebaik-baik cara perbincangan dengan tujuan untuk menjauhkan pendengar yang dinasihatkan itu dari merasa bahawa kaunselor menyerang peribadinya dan merendah serta menghinanya. Malah kaunselor hendaklah memberi kata nasihat yang menyatakan seolah-olah masalah bersama dan cuba mencari penyelesaian bagi perkara yang dibincangkan. Dalam suasana seperti ini , orang yang dinasihatkan itu hendaklah bersama-sama memeraskan fikirannya untuk mencari penyelesaikan, maka di sini tidak timbul rasa bahawa kaunselor itu menekannya untuk mengambil satu-satu jalan penyelesaian yang tertentu yang ia sendiri tidak yakin tentang kejayaannya. Hasil dari perbincangan ini dirasakan oleh pendengar sebagai usahasamanya dengan kaunselor, maka akan timbullah kemahuannya untuk meleksanaannya.




























3.0 KESIMPULAN


Psikologi berlandaskan Islam adalah berpandukan al-Quran dan hadis. Psikologi Islam ini turut diterima oleh pakar saintifik dan isi kandungan al-Quran turut dijadikan sumber kajian mereka. Di dalam al-Quran terkandung pelbagai ayat yang menjelaskan tentang ilmu pengetahuan, akidah, ibadat, akhlak, kejadian langit dan bumi dan sebagainya. Manakala di dalam hadis terkandung nasihat-nasihat yang berguna kepada pengikut dan mengandungi sunnah-sunnah nabi.

Islam mempunyai pandangan yang menyeluruh terhadap kajian manusia daripada unsur-unsur kerohanian dan juga fizikal. Islam mempunyai pandangannya sendiri, garis panduan yang saksama, ideal dan seimbang tentang jiwa manusia.rasul-rasul diutuskan untuk menyeru manusia dan mendidik umat manusia ke jalan yang diredhai oleh Allah.

Islam juga menggunakan pendekatan yang murni dalam membentuk umatnya menjadi insan kamil. Insan Kamil adalah pertemuan di antara ketuhanan dan kehambaan. Manakala Kaunseling Islam merangkumi skop masalah yang lebih luas iaitu merangkumi masalah yang berkaitan kekeluargaan, perkahwinan, pembangunan minda dan keagamaan.











RUJUKAN

Al-Quran dan terjemahan. http:/www.dudung.net
Gagak Mas Harum Gumilang, (June 27, 2005). Hakikat Insan Kamil, from http://www.gagakmas.org/qolbu/bblog/trackback.php/39/.
Hussain Azmi Abdul Kadir (1994). Kaunseling dan Psikologi Menurut Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Malik B. Badri (1979). The Dilemma of Muslim Psychologists. MWH London Publishers.
Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim (1993). Antologi Pemikiran Islam. Hizbi.

No comments: